Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai kandungan video tular di media sosial berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027 yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung penyebaran video berkenaan sebelum merujuk perkara itu kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk penelitian lanjut.

Katanya, penilaian turut merangkumi konteks penyebaran video berkenaan serta potensi kesannya terhadap masyarakat.

"Tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.