KUANTAN – Seorang pekebun durian yang mahu mengubah nasib dengan memenangi hadiah pertama loteri berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM202,460 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran nombor ramalan tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian di Maran itu bermula pada 25 November tahun lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 63 tahun melihat satu iklan video di Facebook memaparkan seorang sami dari selatan Thailand menawarkan perkhidmatan tilik nasib kewangan.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut kemudiannya telah menghubungi suspek pertama melalui telefon dan dimaklumkan bahawa mangsa boleh mengubah nasib dengan membeli tiket loteri Magnum 4D serta berpeluang memenangi hadiah utama.