BESUT : “Suami sempat mengirim pesanan menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu dia tidak larat dan pitam ketika sesat mencari akar kayu bersama ayah.
Demikian kongsi Nur Aliyah Zamin, 20, isteri kepada Adam Adnan, 25, yang sesat bersama bapanya, Adnan Mohamad, 57, di kawasan hutan berhampiran kawasan rekreasi La Hot Spring di sini, sejak semalam.
Nur Aliyah berkata, mereka sekeluarga datang dari Kulim, Kedah ke Kampung La sejak Rabu lalu susulan suaminya dan mentuanya ingin mencari akar kayu sambil bercuti.
“Suami dan ayah keluar mencari akar kayu pada Khamis lalu. Kira-kira pukul 6.30 petang itu, dia mengirim mesej memberitahu tidak dapat turun pada hari sama kerana kepenatan dan keluar keesokkannya.










