KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang monorel di Jalan Hang Tuah, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.49 pagi, mangsa berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Pudu menghala ke Jalan Dewan Bahasa.








