KUALA LUMPUR: Seramai 80 individu termasuk ahli keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, berkumpul di pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini, hari ini, bagi menyerahkan memorandum menuntut kes itu diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Memorandum itu yang bertarikh hari ini, diserahkan bagi pihak keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, dengan sokongan puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Lawyers for Liberty (LFL) dan Amnesty International Malaysia.

Peguam LFL berkata, memorandum itu menyatakan Allahyarham ditangkap pada 20 September lalu dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selama 11 hari, namun keluarganya mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.