Kuala Lumpur: Seramai 80 individu termasuk ahli keluarga lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis berkumpul di pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum menuntut kes itu diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tuntutan itu terkandung dalam memorandum bantahan dan tuntutan bertarikh hari ini yang diserahkan bagi pihak keluarga Allahyarham serta disokong puluhan pertubuhan, termasuk Lawyers for Liberty (LFL) dan Amnesty International Malaysia.
Peguam Lawyers for Liberty berkata kandungan memorandum itu menyatakan Noorizwan Zulkefly, 42, ditangkap pada 20 September lalu dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selama 11 hari, namun keluarganya mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai penangkapan serta penahanan berkenaan.










