BUTTERWORTH : Malaysia sedang mengkaji kewajaran untuk menyemak kaedah pengukuran liputan rangkaian telekomunikasi termasuk 5G mengikut metrik antarabangsa yang ketika ini lebih memfokuskan kepada kawasan yang berpenduduk (CoPA) sahaja.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu, kementeriannya bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membawa isu tersebut untuk penelitian lanjut pada forum Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Doha, Qatar, bulan depan.
“Kita akan lihat sama ada wajar atau tidak sekiranya teknologi telekomunikasi seperti 5G ini dikembangluaskan bukan sahaja di CoPA atau kawasan yang berpenduduk, tetapi juga di kawasan-kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi seperti pelabuhan, rangkaian rel dan laluan-laluan utama di kawasan lebuh raya.










