Spektrum baharu 3.3–3.4 GHz Digital Nasional Berhad (DNB) akan menggandakan kapasiti rangkaiannya serta menyokong teknologi 5G-Advanced dan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Membina rangkaian yang selamat dan boleh dipercayai menjadi cabaran seterusnya bagi pembangunan 5G Malaysia apabila negara beralih daripada memperluas liputan kepada penggunaan teknologi itu dalam sektor perniagaan dan industri, kata penganalisis.

Perkembangan itu berlaku ketika Digital Nasional Bhd (DNB) memasuki fasa baharu pembangunan 5G, disokong pembiayaan RM5.2 bilion dan peruntukan spektrum baharu yang berkuat kuasa pada 1 Okt lalu.

Selepas mencapai liputan lebih 80% kawasan berpenduduk pada Julai, DNB mengaktifkan spektrum baharu 3.3–3.4 GHz yang dikenali sebagai F-Zero bulan ini, sekali gus menggandakan kapasiti rangkaiannya bagi menyokong teknologi 5G-Advanced dan aplikasi kecerdasan buatan (AI).