PETALING JAYA: Keputusan Malaysia mengekalkan kepelbagaian teknologi menerusi model dua rangkaian 5G berupaya memberi kelebihan 'autonomi strategik' kepada negara, sekali gus mengelak daripada terperangkap dalam persaingan geopolitik kuasa besar dunia.

Penyelidik PhD dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) Singapura, Jamil Ghani menjelaskan bahawa kelebihan sebenar negara kini terletak pada kebebasan untuk memilih teknologi tanpa perlu memihak kepada mana-mana blok antarabangsa.

Pandangan berkenaan turut selari dengan dapatan laporan analisis daripada firma penyelidikan pasaran, Frost & Sullivan.

Menurut Jamil, kepelbagaian pilihan teknologi membolehkan sektor industri dan syarikat multinasional (MNC) memilih penyelesaian yang menepati dasar perolehan, piawaian keselamatan siber, serta keperluan pengurusan data masing-masing.