GEORGE TOWN : Cadangan melarang warga asing menaiki bas Rapid KL susulan aduan mengenai tingkah laku tidak senonoh segelintir penumpang disifatkan sebagai tidak praktikal kerana Malaysia bukan sebuah negara terpencil.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun, tindakan sewajarnya tetap akan diambil terhadap mana-mana penumpang yang melakukan perbuatan tidak senonoh atau mengganggu ketenteraman penumpang lain.
“Takkanlah sampai kita nak melarang warga asing naik bas. Kita bukan negara terpencil. Mana boleh kita melarang warga asing naik bas. Itu cadangan yang mustahil untuk dilaksanakan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bas Elektrik Rapid Penang di sini, hari ini.








