GEORGE TOWN: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mahu syarikat multinasional (MNC) dalam industri peranti perubatan mempergiat usaha penyetempatan dengan memindahkan teknologi, kepakaran dan keupayaan kepada syarikat tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, berkata MNC tidak seharusnya hanya menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dengan memanfaatkan tenaga kerja dan kemudahan sedia ada.
Sebaliknya, beliau berkata, kehadiran syarikat global perlu turut membantu pemain tempatan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai menerusi kerjasama lebih kukuh dan pembangunan keupayaan.
"Kita mahu syarikat multinasional (MNC) datang ke sini untuk menjalankan aktiviti pembuatan dan memanfaatkan tenaga kerja serta kemudahan kita, di samping membawa, meningkatkan dan memperkasakan keupayaan, kepakaran serta teknologi syarikat tempatan," katanya.








