LAZIMNYA, Raja ialah Sultan mewarisi takhta. Di Negeri Sembilan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 mentakrifkan 'Raja' sebagai Yang di-Pertuan Besar bersama Pembesar Memerintah, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau serta Tunku Besar Tampin (Perkara 28(1)).
Takrif ini berpunca daripada perjanjian purba yang menjadi amanah kedaulatan tempatan. Amanah itu dipelihara Pembesar Memerintah melalui memorandum mereka pada 1956, sehingga termaktub dalam UUTKNS 1959.
Negeri Sembilan tidak dibentuk dari atas ke bawah. Luaknya wujud lebih awal daripada institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang yang memilih Raja. Tertib ini diungkapkan dalam perbilangan 'alam beraja, negeri berpenghulu, suku bertua', iaitu Negeri Sembilan beraja, luak berundang dan suku berlembaga.






