KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kecenderungan meningkat minggu depan antara RM4.07 hingga RM4.09 berikutan anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 lebih tinggi daripada jangkaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pertumbuhan KDNK Malaysia berdasarkan anggaran awal bagi suku ketiga 2026 mencatatkan kadar lebih tinggi daripada jangkaan iaitu 5.3 peratus.
"Angka terkini itu menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dan tidaklah mengejutkan sekiranya pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun mencecah paras lebih tinggi daripada unjuran semasa antara 4.8 hingga 5.3 peratus berikutan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama 2026 telah mencapai 5.5 peratus," katanya kepada Bernama.








