Putrajaya: Pemimpin politik menyatakan sokongan serta menjunjung titah Majlis Raja-Raja supaya kemelut membabitkan takhta Negeri Sembilan tidak dipolitikkan, sebaliknya diselesaikan menerusi saluran undang-undang yang sah.
Mereka turut menggesa semua pihak menghormati institusi Diraja serta memberi ruang kepada pihak berautoriti untuk menangani pertikaian berkenaan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Majlis Raja-Raja yang mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri urusan Negeri Sembilan atau mempolitikkan isu berkenaan.
Katanya, institusi Diraja perlu dihormati, manakala segala urusan berkaitan dengannya perlu ditangani berdasarkan kaedah, undang-undang dan sistem yang ditetapkan.









