Kota Bharu: Pasangan rakyat Malaysia yang sedang berbulan madu mencetuskan kebimbangan keselamatan berhampiran lokasi persidangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Bangkok, Thailand pada Selasa lalu, selepas tujuh bekas mengandungi kira-kira 40 liter petrol ditemukan dalam kereta mereka.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata, anggota Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengesan kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia itu diletakkan di atas laluan pejalan kaki ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan terbabit.
"Kawasan itu berada di bawah pengawasan keselamatan yang dipertingkatkan berikutan kedudukannya yang berhampiran zon keselamatan persidangan berkenaan.
"Bimbang kenderaan itu mungkin mengandungi bahan berbahaya, pegawai memaklumkan perkara itu kepada agensi keselamatan berkaitan, sekali gus mendorong anggota Unit Pelupusan Bahan Letupan (EOD) menjalankan pemeriksaan.






