KUALA LUMPUR: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menyerahkan memorandum mengandungi 10 tuntutan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS), antaranya menggesa pemindahan senjata kepada Israel dihentikan, selain akses tanpa sekatan bagi memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Memorandum itu diserahkan wakil gabungan berkenaan kepada seorang pegawai Kedutaan AS di sini pada Jumaat.
Terdahulu, kumpulan disertai hampir 1,000 orang itu berarak ke Kedutaan AS selepas menunaikan solat Jumaat di bangunan Tabung Haji.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga jurucakap gabungan, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata antara tuntutan dikemukakan ialah mengenakan syarat ketat selaras dengan undang-undang antarabangsa terhadap bantuan ketenteraan AS.









