KUALA LUMPUR: Tuntutan cukai tambahan terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak menyebabkan kos itu dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif elektrik.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, tarif elektrik di Semenanjung ditentukan melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan tertakluk kepada penelitian serta kelulusan kerajaan.
“Liabiliti cukai korporat TNB bukan kos yang secara automatik boleh dipindahkan kepada pengguna melalui tarif elektrik,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
MoF menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai implikasi tuntutan cukai tambahan terhadap dividen pemegang saham dan tarif elektrik.
Mengulas lanjut, MoF berkata, tuntutan itu juga tidak menjejaskan keupayaan TNB untuk terus membuat pembayaran dividen yang mengambil kira prestasi kewangan, kedudukan tunai dan dasar dividen syarikat.









