KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, disokong oleh komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal susulan pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0820/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0830/0875 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal dapat dilihat daripada sasarannya untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 daripada anggaran 3.6 peratus tahun ini.

Beliau berkata, pendekatan pragmatik itu akan membantu mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia, memberikan sokongan kukuh kepada ringgit.