ISTANBUL: Sekurang-kurang seorang maut dan 11 lagi cedera dalam serangan terbaru ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, semalam, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA), hari ini, lapor Anadolu Ajansi.

GACA mengesahkan mangsa terkorban adalah seorang warga Pakistan yang menetap di Arab Saudi, manakala mereka yang cedera pula dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Pihak berkuasa itu memaklumkan bahawa serangan berkenaan turut menyebabkan kerosakan harta benda yang masih dinilai.

Terdahulu, pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman memaklumkan bahawa Terminal Empat lapangan terbang itu terkena projektil tidak dikenal pasti pada petang semalam sehingga mencetuskan kebakaran.