KUALA LUMPUR: Ketajaman Fergus Tierney di hadapan gawang semakin menyerlah apabila penyerang Harimau Malaya itu terus mencipta impak bersama kelab Cyprus, PAC Omonia, dengan meledak gol kedua dalam saingan liga utama negara berkenaan musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-66 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-52 ketika PAC Omonia berdepan AEL Limassol, semalam.

Bagaimanapun, jaringan itu belum cukup untuk menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan 2-1, namun perkembangan positif itu menyaksikan Tierney kini mengumpul dua gol dan satu bantuan jaringan dalam lima penampilan di saingan liga utama Cyprus.