LABUAN: Keunikan kehidupan masyarakat kampung air yang berteraskan tradisi, hubungan kekeluargaan dan kegiatan nelayan menjadikan Kampung Patau-Patau Dua antara 10 tapak geopark budaya di Wilayah Persekutuan Labuan yang berpotensi diketengahkan sebagai warisan identiti tempatan.
Perkampungan yang mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu Brunei itu mempunyai keistimewaan tersendiri menerusi seni bina rumah bertiang, kehidupan yang rapat dengan laut serta amalan kemasyarakatan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan, S. Roslee Matusin berkata, selain menjadi tempat kediaman, Kampung Patau-Patau Dua turut menawarkan pengalaman mengenali cara hidup masyarakat yang menjadikan laut sebagai sumber rezeki.








