KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya dan ibu mentuanya di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kadok, Padang Lepai, Ketereh, minggu lalu.

Shahrul Shahrizal Che Saari,47, membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan hakim Zulkifli Abllah dan Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Zulaiha Mat Zin,44, dengan cara menikam mangsa menggunakan senjata pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam pada 5 Oktober lalu di sebuah rumah di Lot 1229, belakang Sekolah Menengah Kadok, Padang Lepai, Ketereh, di sini. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama.