KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sekian lama culas membayar nafkah kepada bekas isteri, namun tiba-tiba mampu pula bayar tunggakan berjumlah RM40,000 sekali gus hanya selepas sedar risiko dihantar ke penjara.
Perkara itu dikongsi Pengarah Kanan (Kehakiman) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Abu Suffian Abu Yaziz berdasarkan pengalaman kes dikendalikan beliau ketika bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kes berkenaan menjadi bukti alasan sering diberikan bekas suami ketika prosiding kononnya tidak mempunyai wang atau tidak berkemampuan untuk melunaskan tunggakan nafkah.
Bagaimanapun, katanya keadaan boleh berubah apabila kes sudah sampai ke peringkat pengkomitan dan mereka berdepan kemungkinan dikenakan hukuman penjara.









