PUTRAJAYA - Bekas jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat kerana mencabul seorang bekas atlet lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2017.Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Azmi Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan hukuman itu bermula selepas Mat Salleh Jalani tamat hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi bekas atlet SUKMA.Panel yang turut dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Mat Salleh daripada pertuduhan tersebut.Mahkamah mengembalikan semula sabitan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret dan meningkatkan hukuman penjara daripada 18 bulan kepada dua tahun.Hayatul Akmal ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam menilai keterangan yang ada dan telah tersalah arah apabila mengatakan keterangan saksi pendakwaan ketiga, iaitu mangsa sebagai tidak menyakinkan.Beliau berkata, kredibiliti mangsa tidak tergugat selain keterangannya telah dinilai dengan teliti dan boleh berdiri sendiri serta disokong oleh keterangan saksi lain."Kelewatan dalam membuat laporan polis berhubung kesalahan seksual tidak dengan sendirinya menjejaskan kredibiliti mangsa," katanya yang merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mangsa mungkin keberatan untuk melaporkan kejadian sedemikian atas pelbagai faktor.Pada 31 Januari 2024, Mahkamah Majistret mendapati Mat Salleh, 63, bersalah atas pertuduhan mencabul mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun di Kuala Terengganu, Terengganu pada 5 petang Mei 2017 dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan.Pada 22 Ogos tahun sama, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Mat Salleh daripada pertuduhan itu, menyebabkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli memohon mahkamah meningkatkan hukuman kerana ia bukan kesalahan pertama Mat Salleh yang kini sedang menjalani hukuman penjara bagi kes lain.Peguam Muhammad Faris Mohamad Fauzi memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret.Pada 11 Mac, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap Mat Salleh kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet lelaki berusia 14 tahun pada 2018. - Bernama
Bekas jurulatih boling cabul atlet dipenjara dua tahun

Story details
- Published
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
5 stories on this topic from 4 sources, oldest first.
- Free Malaysia Today Bekas jurulatih boling kena lagi 2 tahun penjara cabul bekas atlet Sukma
- Sinar Harian Bekas jurulatih boling cabul atlet dipenjara dua tahun (this story)
- Berita Harian Bekas jurulatih boling cabul atlet dipenjara dua tahun

