Putrajaya: Bekas jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini kerana mencabul seorang bekas atlet lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2017.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azmi Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan hukuman itu bermula selepas Mat Salleh Jalani tamat hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi bekas atlet SUKMA.

Panel yang turut dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Mat Salleh daripada pertuduhan tersebut.