SHAH ALAM – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Seksyen 9 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, Atilya Nur Qairina Azrai pada 12.01 tengah malam semalam (17 Nov) telah memaklumkan kepada keluarganya untuk keluar ke sebuah pasar raya berhampiran rumah bersama sepupu dengan menaiki motosikal untuk membeli roti.
“Pengadu telah membenarkan remaja tersebut keluar memandangkan kedai berkenaan terletak berhampiran kediaman. Walau bagaimanapun, kira-kira jam 7 pagi pengadu mendapati remaja tersebut tiada di rumah.
“Hasil pertanyaan terhadap sepupu mangsa, keluarga telah dimaklumkan bahawa selepas ke pasar raya, remaja berkenaan telah keluar semula tanpa memaklumkan destinasi yang dituju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.









