KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin terpaksa menelan hakikat cukup pahit apabila kariernya dalam sukan itu sudah berakhir selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Isnin lalu.

Badang kelahiran Perlis itu akur dengan suratan takdir apabila perlu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi dan tangan kanannya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, keadaan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu sudah stabil dan mampu untuk berbual selain menerima kunjungan tetamu.

Menurut beliau, walaupun sedar kecederaan dialami memberi kesan kepada masa depannya, namun Hafizuddin dilihat cukup tabah dan menunjukkan semangat tinggi ketika diziarahi.