Kuala Lumpur: Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin kini ditidurkan bagi membolehkan pihak perubatan meneruskan rawatan intensif susulan kecederaan serius dialaminya dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya SUKE, malam tadi.

Menurut kenyataan rasmi Majlis Sukan Negeri Perlis, Hafizuddin mengalami patah tulang tangan kanan selain salur darah pada bahagian berkenaan tidak lagi berfungsi. Dia turut mengalami kecederaan kecil di kepala.

"Keadaan kecederaan tangan kanannya amat serius sehingga pihak perubatan sedang mempertimbangkan tindakan pembedahan pada hari ini," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berharap segala urusan rawatan Hafizuddin atau dikenali Udin itu dipermudahkan dan diberikan kesembuhan segera.