KUALA LUMPUR - Biarpun cedera ditetak warga asing dalam kejadian di Desa Amanpuri, Kepong, dekat sini, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy ketika itu masih mampu memberikan arahan kepada orang sekeliling supaya berlindung daripada bahaya.Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, anggota terbabit menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan betul.Menurutnya, bagaimanapun, keadaan di luar jangkaan menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku."Jika dilihat menerusi video dan jawapan yang diberikannya (Lans Koperal Thierry), dia masih mampu mengawal keadaan biarpun sedang cedera (pergelangan tangan putus)."Dia masih memberikan arahan kepada orang sekeliling supaya berlindung daripada bahaya. Dia masih boleh bertindak kerana mengikut SOP yang ditetapkan ketika situasi genting," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.Beliau sebelum itu mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, mengadakan lawatan ziarah kebajikan terhadap Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL).Ditanya mengenai keadaan terkini anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu, Noor Hisam berkata, maklumat daripada doktor pakar menunjukkan perkembangan positif.Katanya, keadaan Thierry stabil dan memerlukan masa tiga hingga empat minggu untuk urat serta tulangnya pulih."Walaupun belum pulih sepenuhnya, tempoh itu merupakan fasa kritikal dan mungkin selepas itu beliau akan dipertimbangkan untuk dibenarkan keluar dari hospital."Saya bertanya kepadanya dan beliau memaklumkan sudah mula merasakan jarinya, namun belum sepenuhnya," ujarnya.Sebelum itu, kejadian bermula apabila polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4 petang mengenai seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil di pangsapuri terbabit.Sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian dikerahkan ke lokasi.Bagaimanapun, kira-kira jam 7 malam, suspek meluru keluar dari kediamannya dengan bersenjatakan parang sebelum menyerang pasukan keselamatan yang berada di hadapan pintu.Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis berusia 26 tahun berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya putus, selain mengalami kecederaan pada kepala dan badan.