KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing disaran mendapatkan perlindungan insurans komprehensif termasuk perlindungan tambahan bencana alam bagi menghadapi risiko kerosakan kenderaan, khususnya ketika musim monsun.

Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin, berkata pemandu tidak seharusnya mengabaikan perlindungan berkenaan semata-mata untuk menjimatkan kos tambahan, memandangkan mereka terdedah kepada pelbagai risiko ketika berada di jalan raya.

"Pemandu perlu mengambil kira perlindungan seperti banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan akibat cuaca buruk kerana mereka banyak menghabiskan masa di jalan raya.

"Jangan hanya kerana mahu menjimatkan sekitar RM30 hingga RM40, kita mengabaikan perlindungan yang boleh membantu sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui media selepas Dialog Industri Insurans E-Hailing anjuran LEGASI Research di sini, hari ini.