KOTA BHARU: Hakisan pantai akibat ombak kuat ketika Monsun Timur Laut menyebabkan tapak pelupusan sampah lama di Pantai Dasar, Sabak, di sini, kembali terdedah selepas lebih 10 tahun ditimbus.

Keadaan itu turut menyaksikan pelbagai jenis sampah termasuk plastik, tayar dan bekas makanan terdampar serta bertaburan di sepanjang pesisir pantai, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran alam sekitar.

Kemunculan siput kemudi atau kerang kapak di Pantai Sabak dan Pantai Dasar sebelum ini secara tidak langsung menarik perhatian orang ramai terhadap kewujudan tapak pelupusan sampah berkenaan.

Tapak pelupusan itu difahamkan sudah tidak beroperasi lebih 10 tahun lalu selepas tanah berkenaan dibeli pihak persendirian sebelum ditimbus.