KUALA LUMPUR: PETRONAS memperkukuh strategi memaksimumkan pengeluaran daripada medan minyak dan gas matang menerusi penggunaan data, teknologi serta kerjasama lebih erat antara pasukan teknikal bagi meningkatkan pemulihan sumber petroleum.

Naib Presiden Kanan Malaysia Assets merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim, berkata usaha memaksimumkan potensi medan matang memerlukan integrasi kepakaran geosains, kejuruteraan dan operasi bagi memastikan setiap keputusan pembangunan dibuat berdasarkan pemahaman lebih menyeluruh terhadap keadaan takungan minyak dan gas.

Beliau berkata, semua data yang tersedia perlu dimanfaatkan untuk memahami keadaan medan dengan lebih mendalam, termasuk menentukan lokasi sesuai bagi penggerudian telaga pembangunan dan telaga tambahan.