PETALING JAYA: Perkembangan pesat industri pusat data didorong peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi membuka pasaran baharu kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi pembekalan gas asli untuk penjanaan tenaga bagi menyokong operasi kemudahan berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, permintaan tenaga daripada pusat data boleh mewujudkan peluang komersial kepada industri gas negara, khususnya menerusi penjualan gas pada harga pasaran berbanding eksport melalui kontrak jangka panjang.

Menurutnya, Malaysia mengeksport kira-kira 30 juta tan metrik LNG setahun dan perkembangan industri pusat data membuka ruang untuk memanfaatkan sebahagian sumber tenaga itu bagi memenuhi keperluan domestik.