YALA (THAILAND): Pelancong Malaysia perlu berwaspada ketika melalui Jalan Betong-Yala ketika pasukan keselamatan Thailand memperluaskan kepungan untuk menggeledah kawasan hutan di kaki Gunung Saji di Daerah Thanto di sini dalam usaha memburu anggota kumpulan pemisah yang melarikan diri selepas pertempuran sengit, kelmarin.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, kawasan kepungan meliputi jalan utama dari Betong ke Yala yang terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak kumpulan terbabit melarikan diri ke negara jiran.
Sehubungan itu, pelancong Malaysia yang melalui jalan itu sama ada dari Betong ke Yala atau sebaliknya dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi undang-undang terutama jika terserempak dengan sekumpulan anggota tentera atau sekatan jalan raya.






