NIBONG TEBAL: Seramai 16 mangsa daripada tiga keluarga berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas beberapa rumah di Kampung Sethu, Sungai Bakap di sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat awal pagi tadi.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan air naik ke paras kira-kira 0.91 meter dan mengakibatkan beberapa mangsa terperangkap di dalam rumah masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.40 tengah malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap tiba di lokasi 12 minit kemudian dengan kekuatan enam anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah bot gentian kaca dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.