BEIJING: Lebihan dagangan China melonjak melepasi AS$1 trillion (RM4.05 trilion) dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, didorong persaingan global membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang meningkatkan jualan produk berteknologi tinggi serta membantu mengimbangi permintaan domestik yang lemah.
Lonjakan eksport itu dikhuatiri mencetuskan ketegangan dengan beberapa rakan dagang utama yang bimbang lambakan barangan China pada harga lebih rendah akan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan.
Lapor Reuters, lebihan dagangan yang semakin besar itu juga berpotensi meningkatkan lagi ketegangan dengan Kesatuan Eropah (EU), yang pemimpinnya menggesa sekatan perdagangan lebih ketat terhadap China selepas mencapai persetujuan dengan Beijing untuk mengehadkan eksport kenderaan hibrid China ke blok berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.







