JOHOR BAHRU: Pihak pemaju digesa untuk menyegerakan tindakan penyelenggaraan kolam takungan air berhampiran di Batu 13 3/4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini yang menjadi salah satu punca berlakunya banjir kilat di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kolam takungan air yang tidak beroperasi dengan baik itu menyebabkan jalan raya berhampiran ditenggelami air hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa sepanjang 10 kilometer.

Justeru, katanya, kerja-kerja pembersihan dan pendalaman kolam takungan air perlu dilakukan segera bagi mengelak daripada limpahan ketika hujan lebat berulang.

“Saya telah meminta pihak pemaju dan mereka bersetuju dalam masa satu minggu ini untuk mendalamkan dan membersihkan kolam tadahan ataupun takungan air itu,” katanya selepas mengadakan lawatan dan perbincangan bersama-sama pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak pemaju, konsesi dan polis di sini hari ini.