KUALA LUMPUR: Lebihan inventori minyak sawit Malaysia dijangka berkurangan mulai bulan ini apabila pokok kelapa sawit memasuki tempoh pengeluaran yang rendah, berpotensi menstabilkan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut firma penyelidikan.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan, pengeluaran minyak sawit dijangka menurun tahun depan, didorong oleh faktor pengeluaran secara bermusim yang rendah dan impak daripada El Niño.

Menurutnya, inventori minyak sawit mencatatkan satu lagi paras tertinggi baharu sebanyak 3.6 juta tan pada Oktober, meningkat 3.2 peratus berbanding bulan sebelumnya apabila pengeluaran turut mencapai rekod tertinggi baharu walaupun momentum eksport adalah kukuh.