SEPANG: Seorang lelaki dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat hantaran berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri menerusi aplikasi Facebook.
Tertuduh, Mohamed Shazrin Jamil, 35, membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Shazrin didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau menerusi akaun Facebook menggunakan akaun ‘Shazrin Kedah’ miliknya pada 12 Mac lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik melampau sifatnya pada 6.15 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.









