PETALING JAYA: Rombakan Kabinet lebih wajar dilakukan bagi menangani masalah disiplin dalam kalangan menteri berbanding membubarkan Parlimen yang akan menelan belanja bagi melaksanakan pilihan raya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kegagalan segelintir menteri dan parti dalam Kerajaan Perpaduan mematuhi disiplin tidak sepatutnya menyebabkan rakyat menanggung akibat percaturan politik mereka.

Menurutnya, masalah kerajaan ketika ini bukan sekadar kelemahan prestasi kementerian, malah turut melibatkan kegagalan sebahagian menteri dan parti untuk berfungsi sebagai satu pasukan.

Katanya, terdapat pihak yang mahu terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam kerajaan, tetapi apabila timbul kelemahan atau kegagalan, mereka mengambil pendekatan menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan serta menjauhkan diri daripada keputusan bersama.