KUDAT: Aktiviti memancing dua beradik bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dibaham buaya di Sungai Semayan, Pulau Banggi di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan dipercayai disambar reptilia itu ketika turun ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu yang dilaporkan seorang guru sekolah kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa pergi memancing bersama abangnya di sungai itu sebelum kejadian berlaku.