HANG TUAH JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada tekanan UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan Kabinet.Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu hanyalah pandangan peribadi beliau, sedangkan kuasa untuk menentukan rombakan Kabinet terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri.Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri juga tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perkara berkenaan.Beliau juga melihat ada usaha menggunakan momentum ketika ini untuk mendesak Anwar membubarkan Parlimen, namun yakin Perdana Menteri tidak akan tunduk kepada tekanan tersebut."Perdana Menteri masih ada mandat dan masih mempunyai sokongan yang cukup di Parlimen untuk meneruskan pentadbirannya."Mandat beliau masih ada setahun lagi. Walaupun saya meletakkan jawatan daripada Kabinet, kita memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus mentadbir negara."Jadi, memang tidak ada keperluan untuk tunduk kepada tekanan yang cuba dibawa oleh UMNO kepada Perdana Menteri. Kita tahu permainan politik mereka," katanya ketika ditemui selepas ceramah Pakatan Harapan (PH) di Melaka Baru di sini pada Selasa.Setiausaha Agung DAP itu menambah, sekiranya UMNO merasakan tidak lagi boleh bekerjasama atau menghormati Perdana Menteri, parti itu sepatutnya mengambil tindakan berhubung sokongan politik mereka dan bukannya mendesak Parlimen dibubarkan."Sepatutnya kalau mereka rasa sudah tidak boleh bekerjasama ataupun tidak lagi menghormati Perdana Menteri, mereka boleh buat tindakan dari segi sokongan atau menarik balik sokongan."Tetapi tidak perlu menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen," katanya.Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, semua pihak perlu menghormati kuasa Raja-raja, Perlembagaan dan undang-undang negara berhubung keputusan membabitkan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Beliau mengakui keputusan itu mungkin sukar diterima oleh sebahagian masyarakat, namun menegaskan ia perlu dihormati."Ya, sudah tentu saya yakin ramai orang juga susah untuk menerima fakta bahawa Najib boleh melalui tahanan rumah tetapi saya yakin kita perlu menghormati kuasa Raja dan Perlembagaan serta undang-undang di negara ini."Kita terima keputusan itu dan sama ada kita boleh menerimanya atau tidak, boleh nyatakan pilihan melalui kertas undi," ujar beliau.Ditanya sama ada isu Najib bakal mempengaruhi keputusan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Anthony berkata, perkara itu terpulang kepada pertimbangan rakyat.Bagaimanapun, katanya, pilihan pengundi tidak hanya bergantung kepada isu membabitkan individu tertentu, sebaliknya turut mengambil kira prestasi wakil rakyat, khidmat kepada masyarakat dan pembangunan negeri."Faktor Najib juga salah satu faktor yang boleh dipertimbangkan oleh pengundi," katanya.Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon yang bakal menggantikannya susulan peletakan jawata