KUANTAN: Kediaman Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, terbakar dalam kejadian membabitkan dua rumah teres dua tingkat di Taman Seri Kuantan, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam berhubung insiden berkenaan.
Susulan itu, beliau berkata, seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dibantu BBP Indera Mahkota dan BBP Gebeng menjalankan operasi pemadaman.
"Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan.









