Klang: Polis sedang mengesan individu yang tular bermain mercun secara berbahaya di tempat awam di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Kelana, Kawasan 1, di sini, pada jam 1 pagi, Ahad lalu.

"Satu kejadian bermain mercun di tempat awam sehingga membahayakan keselamatan orang ramai dikesan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Kelana.

"Susulan tularnya video kejadian itu di media sosial, kami turut menerima satu laporan polis," kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai dengan bahan mudah meletup.