IPOH: Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung sekumpulan individu bermain mercun di tengah jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di sini, seperti yang tular menerusi media sosial.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata bagaimanapun, polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak tentang kejadian tersebut.
“Kita akan siasat kejadian ini, mereka yang terlibat dan sebagainya termasuklah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata pihaknya memandang serius perbuatan kumpulan individu berkenaan yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan tindakan itu tidak seharusnya berlaku.









