IPOH: Polis menahan seorang lelaki warga Singapura dan merampas dadah berjumlah 19 kilogram (kg) yang cuba diseludup di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata anggota polis LTSAS mengesan lelaki berusia 29 tahun yang tidak bekerja, membawa sebuah bagasi dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan pemeriksaan bagasi penumpang di kaunter daftar masuk.
Beliau berkata suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebagai lokasi transit, sebelum meneruskan perjalanan ke London, England.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi tersebut telah menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja, dianggarkan seberat 19.04 kg dengan nilai pasaran berjumlah RM1.52 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.









