IPOH: Lelaki warga Singapura ditahan bersama bagasi berisi ketulan mampat dadah mengandungi 19 kilogram (kg) daun kering bunga ganja bernilai RM1.52 juta, di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata pemeriksaan bagasi berzip yang dibawa suspek berusia 29 tahun itu menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar yang setiap satu mengandungi ketulan daun kering jenis bunga ganja seberat 19.04kg.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan anggota polis bantuan LTSAS mengesan bagasi terbabit dalam keadaan mencurigakan semasa pemeriksaan dijalankan ke atas bagasi penumpang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur menaiki penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan bermalam serta memperoleh beg berisi dadah berkenaan di di Kajang, Selangor sebelum berlepas ke Ipoh, Sabtu lalu.