BUKIT MERTAJAM: Tiga kanak-kanak warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas.

Dua daripada mereka berusia 11 tahun dan seorang 12 tahun mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Myanmar oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mereka didakwa secara bersama mengugut untuk mencederakan seorang wanita berusia 71 tahun menggunakan pelbagai objek, termasuk mop, batang besi, tiub lampu kalimantang dan batu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Tingkat Binjai Empat Belas, Taman Sri Rambai, kira-kira jam 6 petang, 22 Oktober lalu.