KUALA LUMPUR: Ni Hsin Group Bhd tidak mengenal pasti sebarang perkembangan korporat, khabar angin atau laporan terkini yang mungkin menjelaskan mengenai aktiviti dagangan luar biasa terhadap saham syarikat itu baru-baru ini.

Dalam maklum balas kepada pertanyaan mengenai aktiviti pasaran luar biasa (UMA), pengeluar produk keluli tahan karat itu memaklumkan telah mencadangkan terbitan bonus waran pada 27 Oktober 2026 serta cadangan kepelbagaian aktiviti utama sedia ada bagi merangkumi perniagaan kenderaan elektrik pada 8 September 2026.

Syarikat itu turut memaklumkan pihaknya telah menjual lima juta saham biasa pada 26 Oktober 2026, namun tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada penjualan itu menyumbang kepada aktiviti dagangan luar biasa baru-baru ini dalam sekuritinya.