KUALA LUMPUR: Pengendali lebuh raya di ibu negara digesa meningkatkan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala, khususnya pada sistem saliran bagi mengelakkan risiko kejadian banjir kilat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pengendali lebuh raya juga perlu meningkatkan pemeriksaan mengejut bagi mengenal pasti sebarang masalah yang boleh menyumbang kejadian banjir kilat.

"Saya ada melihat video di media sosial menunjukkan air naik dengan cepat di kawasan lebuh raya.

"Lebuh raya berada di bawah jagaan pengendali masing-masing dan saya menggesa mereka bukan sekadar mengutip tol, tetapi memastikan penyelenggaraan dilaksanakan serta pekerja turut membuat pemeriksaan, termasuk memperbanyak pemeriksaan mengejut," katanya selepas sidang media Majlis Pelaksanaan Projek Lestari Niaga 2026 di Jalan Ipoh, di sini, hari ini.